Saturday, May 29, 2010

semasa: millatfacebook & aktivis pujuk orang Islam murtad

Profesional IT Pakistan cipta web lawan kempen hina nabi, Islam

ISLAMABAD: Sekumpulan warga Pakistan mencipta laman web baru untuk menghubungkan 1.6 bilion Muslim selepas berang dengan laman Facebook kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad selain mewujudkan saluran baru melawan propaganda anti-Islam.

Kumpulan itu membabitkan enam profesional teknologi maklumat (IT) di pusat budaya dan hiburan Pakistan, Lahore, yang melancarkan laman web www.millatfacebook.com, awal minggu ini.

Ia dilancarkan selepas mahkamah Pakistan mengarahkan sekatan ke atas Facebook sehingga Isnin ini atas bantahan terhadap satu laman Everyone Draw Mohammed Day (Hari Lakar Muhammad) yang menghina Islam.

“Millatfacebook dicipta bagi memenuhi keperluan sosial penduduk Pakistan. Laman untuk Muslim termasuk orang lain yang baik daripada agama lain turut dialu-alukan,” kata laman web itu kepada yang berminat menjadi ahli.

“Kami mahu beritahu ahli Facebook bahawa mereka akan terima padah jika mengganggu kami,” kata Ketua Pegawai Operasi syarikat yang menempatkan laman itu, Usman Zaheer, 24.

“Jika ada orang menghina nabi, kami akan jadi lawan mereka dan menyebabkan mereka rugi besar,” katanya yang bermimpi menjadikannya laman sosial terbesar Muslim.

Dikenali dengan singkatan MFB, seperti juga FB bagi Facebook, pengasasnya berkata, pakar IT kini berusaha memasukkan ciri-ciri lain ke dalamnya bagi mencabar pesaing dari California itu.



Setiap ahli memiliki ‘dinding’ untuk ulasan sahabat selain mengandungi kemudahan emel, foto, video, ruang sembang dan perbincangan.

Perkataan ‘Millat’ adalah bahasa Urdu yang biasa digunakan untuk merujuk kepada negara. Laman web itu sudah mempunyai 4,300 ahli selepas tiga hari dilancarkan, kebanyakannya warga Pakistan yang boleh berbahasa Inggeris dalam lingkungan usia 20-an.

Angka itu jauh lebih kecil daripada keahlian Facebook di Pakistan buat masa ini sebanyak 2.5 juta dan ulasan awal menunjukkan MFB memerlukan lebih banyak masa untuk benar-benar menyaingi FB.

Bagaimanapun, Usman gembira dengan hasil awal laman web itu yang sudah menarik penyertaan warga Britain, Bulgaria, Kanada, China, Russia, Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat. – AFP



Pemimpin anti-Islam guna 30 bas New York papar iklan sasar Muslim

NEW YORK: Seorang aktivis Amerika Syarikat yang mengetuai pertubuhan 'Stop Islamization of America' (Henti Islamkan Amerika) melancarkan kempen menggalakkan orang Islam supaya murtad dengan meletakkan iklan di 30 buah bas setiap bulan di Kota New York, menyuruh sesiapa yang berminat menghubungi sebuah laman web tajaannya.

Pamela Geller mendakwa, laman web itu, RefugefromIslam.com memberi penerangan kepada mereka yang mahu keluar dari agama Islam serta menyifatkan langkahnya sejajar dengan kebebasan beragama meskipun beliau dituduh sebenarnya menyembunyikan agenda anti-Muslim.

Iklan itu mula dilihat pada bas pada 14 Mei lalu, menggunakan soalan berbunyi ‘Leaving Islam’ (Mahu keluar daripada Islam?), ‘Fatwa on your head?’ (Anda diancam fatwa?) dan ‘Is your family threatening you?’ (Adakah keluarga mengancam anda?).

Geller berkata, iklan pada bas itu berharga AS$8,000 (RM26,400) dan turut disumbangkan pembaca blognya selain laman web lain termasuk Atlas Shrugs.
Ada juga iklan berkenaan dilihat pada bas di Miami. Geller juga mengakui, beliau merancang meletakkan iklan sama di bandar lain.

“Iklan itu tidak mencetuskan kemarahan orang Islam, ia sejajar dengan kebebasan beragama. Iklan itu tidak menyasarkan orang Islam yang mengikut ajaran agama mereka. Iklan itu tidak berkata ‘keluar’ tetapi ‘mahu keluar’ dengan simbol tanda tanya,” katanya.
Pegawai Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) berkata, iklan Geller itu sudah dikaji dan tidak melanggar garis panduan MTA dan belum ada aduan diterima mengenai iklan pada bas berkenaan.

Semua iklan diperiksa terlebih dulu, kebanyakannya oleh syarikat yang mengendalikan permohonan iklan MTA tetapi ada yang dihantar kepada MTA untuk kelulusan muktamad, kata jurucakap agensi itu, Aaron Donovan.

Bulan lalu, syarikat pengangkutan Miami-Dade Transit menarik iklan itu daripada 10 bas kerana memutuskan ia mungkin mencetuskan kemarahan orang Islam, lapor akhbar The Miami Herald.

Tetapi, agensi berkenaan membuat keputusan membenarkannya diguna semula selepas mengkaji iklan itu bersama pejabat Peguam Negeri.

Anggota Majlis Perbandaran beragama Islam, Robert Jackson, mempertikai kriteria MTA membenarkan iklan itu serta tidak bersetuju dengan isi kandungannya khususnya Amerika adalah negara yang menyokong kebebasan beragama.

“Ini adalah kempen pelampau berhaluan kanan yang menentang agama Islam. Warga New York memahami perkara ini,” katanya.

Wakil Majlis Hubungan Amerika-Islam di sini, Faiza Ali, berkata iklan itu menggunakan alasan palsu bahawa seseorang itu dipaksa kekal dalam Islam sedangkan orang Islam percaya pihak yang dipaksa memeluk kepercayaan tertentu bukan penganut sebenar.

“Geller bebas berkata apa yang dia suka tetapi anggota masyarakat lain juga bebas mengkritik motif beliau. Geller sudah lama bersikap anti-Muslim dan iklan itu menyembunyikan latar belakang berkenaan,” katanya lagi. – AP


p/s masih mencaricari kekuatan...uhu

1 comment:

  1. salam.

    oho.ade lagi yg baru ea.ye.ye.ngee.

    "Pemimpin anti-Islam guna 30 bas New York papar iklan sasar Muslim"
    grr.sangat geram masa baca berita 2 kat surat khabar.

    ReplyDelete