Friday, May 21, 2010

Kewajipan-kewajipan Seorang Saudara Muslim

Di dalam risalah At-Taalim Asy-Syahid Hassan Al-Banna telah menetapkan lebih tiga puluh kewajipan bagi seseorang saudara muslim yang menggabungkan dirinya dengan Harakah Islamiah. Dengan kewajipan-kewajipan ini Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan setiap seorang muslim terhadap dirinya, rumah tangganya dan masyarakatnya. Beliau mengatakan:

"Wahai saudara yang jujur! Keyakinan saudara terhadap persetiaan (baiah) ini, menuntut saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut ini sehingga menjadi batu-batu yang kukuh bagi binaan kita".

  1. Saudara hendaklah mewiridkan (membaca) Al-Quran kira-kira satu juzuk setiap hari dan bersungguh-sungguh melakukannya supaya dapat khatam dalam tempoh tidak lebih dari satu bulan tetapi janganlah dihabiskan dalam tempoh kurang dari tiga hari.

  2. Saudara hendaklah membaca Al-Quran dengan baik (sebutan dan tajwid), sanggup pula mendengar dan merenungi maksud pengertiannya. Saudara juga hendaklah mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dan sejarah angkatan salafussoleh yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada pada saudara. Sekurang-kurangnya saudara membaca buku "Hamalatul Islam" sebagai kajian permulaan. Hendaklah saudara memperbanyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan menghafal sekurang-kurangnya empat puluh hadis iaitu hadis 40 susunan Imam Nawawi. Saudara juga hendaklah mempelajari sebuah risalah atau kitab mengenai usul-usul akidah dan sebuah kitab mengenai hukum-hakam fekah.

  3. Saudara hendaklah segera berjumpa doktor supaya diperiksa kesihatan am saudara. Jika didapati ada apa-apa penyakit saudara hendaklah segera mencari ubatnya. Saudara hendaklah mengambil berat terhadap sebab-sebab kekuatan badan dan pemeliharaannya. Di samping itu saudara hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan.

  4. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari meminum kopi, teh atau minuman menyegarkan seumpamanya secara berlebihan. Janganlah saudara meminumnya kecuali di ketika yang sangat perlu dan janganlah sekali-kali saudara menghisap rokok.

  5. Saudara hendaklah mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara, dalam rumah tangga, pakaian, makan-minum, tubuh-badan dan tempat kerja (pejabat) kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.

  6. Saudara hendaklah bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

  7. Saudara hendaklah menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali saudara memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.

  8. Saudara hendaklah bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab), semulia-mulia keberanian talah berani berterus-terang dalam perkara yang benar dan sanggup menyimpan rahsia, berani mengaku kesilapan diri sendiri, sanggup menyedarkan diri sendiri dan mampu mengawal diri ketika marah.

  9. Saudara hendaklah bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kesungguhan sikap ini tidaklah sampai kepada peringkat sehingga menahan saudara dari bergurau-senda dengan cara yang benar dan ketawa dengan senyum.

  10. Saudara hendaklah bersifat pemalu, halus perasaan dan mudah terasa (peka) kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk, dengan cara menunjukkan kegembiraan kepada sesuatu kebaikan dan menunjukkan kedukacitaan terhadap sesuatu yang buruk. Saudara hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan kerana merasa hina atau bertongkat dagu kepada orang lain. (Jika saudara menuntut sesuatu) saudara hendaklah memintanya kurang dari martabat kerana dengan cara demikian saudara dapat mencapai martabat sebenarnya dengan kebenaran.

  11. Saudara hendaklah berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan saudara melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah kerana sayang. Budi orang lain hendaklah dikenangkan walaupun ketika bermusuhan. Saudara hendaklah sanggup bercakap benar walaupun ke atas diri sendiri atau ke atas orang yang paling hampir dengan kamu walaupun ucapan itu pahit.

  12. Saudara hendaklah benar-benar cergas dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja kebajikan am sehingga saudara merasa bahagia dan menyenangkan perasaan apabila saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain. Untuk maksud ini saudara hendaklah menziarahi orang-orang yang sakit, membantu orang yang berhajat (memerlukan), meringankan orang yang menanggung bebanan dan melapangkan orang yang ditimpa bencana dan melapangkan orang yang ditimpa bencana walaupun sekadar mengeluarkan kata-kata yang baik dan manis. Kesimpulannya hendaklah saudara segera melakukan kebajikan.

  13. Saudara hendaklah bersifat belas-kasihan, pemurah dan bertolak-ansur. Dalam perkara ini saudara hendaklah memberi kemaafan dan mengampunkan kesilapan-kesilapan orang lain dan sentiasa bersabar dan bertenang. Bertimbang-rasa bukan terbatas kepada manusia sahaja malah terhadap haiwan sekalipun hendaklah saudara bertimbang-rasa. Saudara hendaklah memelihara pergaulan dan akhlak yang baik dengan orang ramai, memelihara adab-sopan secara Islam, menaruh belas kasihan terhadap yang lebih muda dan menghormati orang-orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk di dalam majlis-majlis perhimpunan, janganlah saudara mengintai-intai, mengumpat-umpat dan menceroboh. Saudara hendaklah meminta izin terlebih dahulu sebelum memasuki ke satu-satu tempat dan ketika hendak mengundurkan diri daripadanya.

  14. Saudara hendaklah boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulang-kaji risalah-risalah Ikhwanul Muslimin seperti akhbar-akhbar, majalah dan seumpamanya yang diterbitkan oleh mereka. Seboleh-bolehnya saudara hendaklah memiliki kutub khanah (perpustakaan) sendiri walaupun kecil. Dengan ini saudara pula hendaklah mendalamkan ilmu pengetahuan dan kepandaian saudara. Jika saudara termasuk dalam golongan yang mempunyai pengkhususan berkenaan urusan-urusan dalam bidang tertentu, saudara hendaklah mempunyai pengalaman berkenaan urusan-urusan keIslaman sekadar yang membolehkan saudara melihat dan menghukumnya supaya selari dengan tuntutan-tuntutan fikrah perjuangan kita.

  15. Saudara hendaklah membuat sesuatu pekerjaan ekonomi sekalipun saudara sudah kaya-raya dan hendaklah saudara memilih dan membuat apa jua pekerjaan yang bebas sekalipun kecil. Ceburkanlah diri saudara ke dalam bidang berkenaan walau apa juga kedudukan ilmu pengetahuan yang ada pada saudara.

  16. Janganlah saudara mencari-cari kerja di dalam jabatan-jabatan kerajaan malah saudara hendaklah memandang pekerjaan seperti itu sempit pintu rezekinya. Tetapi jangan pula saudara terus menolak apabila datang peluang pekerjaan. Janganlah pula saudara lepaskan pekerjaan tersebut kecuali kalau ia benar-benar bertentangan dengan kewajipan-kewajipan dakwah kita.

  17. Saudara hendaklah berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab saudara dengan penuh amanah tentang kelicinan dan kehalusan pekerjaannya, jangan sekali-sekali anda menipu, malah saudara hendaklah menunaikan tugas tersebut tepat dengan mdan janjinya.

  18. Saudara hendaklah menuntut hak-hak saudara dengan cara yang baik dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurnatanpa perlu dituntut dantidak menangguh-nangguhkan.

  19. Saudara hendaklah menjauhi permainan judi walau apapun jenisnya dan walau apapun tujuannya. Saudara juga hendaklah menjauhi sebarang cara penghasilan yang haram sekalipun memperolehi keuntungan dengan serta merta.

  20. Saudara hendaklah menjauhi amalan riba dalam seluruh muamalat malah hendaklah saudara membersihkan diri sama sekali dari sebarang amalan riba.

  21. Saudara hendaklah menggunakan harta kekayaan Umat Islam kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan institusi-institusi ekonomi Islam dan saudara hendaklah berjaga-jaga supaya jangan tercicir walaupun satu sen ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Janganlah saudara memakai dan memakan kecuali pakaian dan barang makanan yang dikeluarkan oleh negara Islam.

  22. Saudara hendaklah menyumbangkan untuk dakwah kita dari harta saudara dan jangan lupa mengeluarkan zakat yang wajib malah hendaklah saudara menguntukkan sedikit daripada harta itu untuk menolong pengemis-pengemis dan orang-orang yang terputus rezeki sekalipun pendapatan saudara sangatlah kecil.

  23. Saudara hendaklah menyimpan sebahagian dari wang pendapatan saudara untuk waktu-waktu kecemasan walaupun sedikit dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus di dalam amalan-amalan membelanjakan wang dalam perkara-perkara yang tidak mustahak.

  24. Saudara hendaklah berusaha sedaya upaya menghidupkan adat-adat yang bercorak Islam sebaliknya mematikan adat-adat asing dalam semua lapangan hidup. Di antara adat tersebut ialah cara-cara memberi hormat, bahasa, sejarah. Masa bercuti, makanan, minuman, cara-cara datang dan pergi, cara berduka, cara bersuka dan sebagainya. Dalam semua kebiasaan-kebiasaan itu saudara hendaklah beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w.

  25. Saudara hendaklah pulaukan mahkamah tempatan dan sebarang proses kehakiman yang bukan Islam, kelab-kelab, akhbar-akhbar, perkumpulan-perkumpulan, sekolah-sekolah dan institusi-institusi yang menentang fikrah Islamiah. Pemulauan tersebut mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh.

  26. Saudara hendaklah sentiasa merasai diri saudara berada di bawah pengawasan Allah s.w.t, mengingati hari akhirat dan bersedia untuk ke sana dan hendaklah saudara mempertingkatkan perjalanan hidup sehari-hari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan hemat dan keazaman yang kuat. Dekatkanlah diri saudara kepada Allah s.w.t dengan cara mengerjakan ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang tahajud (di waktu malam), berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan, memperbanyakkan zikir di dalam hati dan lidah dan berdoa dengan doa-doa yang ma'thur dalam setiap keadaan.

  27. Saudara hendaklah melakukan dengan baik apabila bersuci (iaitu berwuduk dengan cara menyempurnakan segala syarat dan rukunnya) dan hendaklah saudara sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk.

  28. Saudara hendaklah mengerjakan sembahyang dengan cara yang betul (iaitu menyempurnakan syarat dan rukun-rukunnya) dan menunaikannya pada waktu-waktunya dengan mengutamakan sembahyang berjemaah dan sembahyang di masjid seboleh yang mungkin.

  29. Saudara hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan Haji ke Baitullah apabila saudara berkemampuan pergi ke sana dan jika sekiranya saudara belum mampu hendaklah membuat persediaan untuknya mulai sekarang.

  30. Saudara hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan niat berjihad dan bercita-cita untuk mati syahid serta melakukan persediaan sedaya-upaya untuk berjihad dan mati bersama-sama dengan para syuhada'.

  31. Saudara hendaklah sentiasa memperbaharui taubat dan memohon keampunan, menjauhkan diri dari dosa-dosa besar. Saudara hendaklah memperuntukkan masa selama satu jam sebelum tidur untuk menghisab diri saudara tentang kebaikan-kenaikan dan kejahatan-kejahatan yang telah saudara lakukan. Saudara hendaklah menjaga masa kerana masa itu adalah kehidupan. Oleh itu janganlah saudara membazirkan masa itu walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah saudara menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubahat dan samar-samar hukumnya supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.

  32. Saudara hendaklah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu saudara sehingga mudah saudara mengendalikannys. Saudara mestilah menjaga penglihatan saudara (dari benda-benda atau tempat-tempat yang haram) dan kuasailah desakan-desakan naluri saudara dengan cara mengarahkannya kepada perkara-perkara yang halal lagi baik dan elakkanlah diri dari sesuatu yang haram walau apapun bentuknya.

  33. Saudara hendaklah menjauhkan diri sama sekali dari arak, minuman-minuman yang memabukkan dan minuman-minuman yang melemahkan kesihatan badan atau minuman yang seumpamanya.

  34. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari berdampingan dengan rakan-rakan yang jahat, kawan-kawan yang rosak dan segala tempat berlakunya maksiat dan dosa.

  35. Saudara hendaklah memerangi tempat-tempat permainan yang keji apatah lagi menghampirinya malah saudara juga menjauhkan diri dari cara hidup yang bermewah-mewahan dan bersenang-lenang.

  36. Saudara hendaklah mengenali anggota-anggota pasukan saudara demi seorang dengan sebenar-benar pengenalan. Di samping itu saudara juga memperkenalkan diri saudara kepada mereka sama seperti saudara mengenali mereka dengan cara menunaikan dengan sempurna hak-hak persaudaraan seperti kasih-sayang, menghargai, memberi pertolongan, mengutamakan diri mereka dan menghadiri majlis-majlis mereka, janganlah saudara ketinggalan dari menghadirinya kecuali keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Saudara hendaklah sentiasa membuktikan bahawa saudara benar-benar mengutamakan diri mereka dari diri saudara sendiri.

  37. Saudara hendaklah melepaskan diri daripada berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak memberi faedah kepada fikrah perjuangan saudara terutama jika saudara disuruh berbuat demikian dengan kumpulan seperti itu.

  38. Saudara hendaklah bekerja untuk menyiarkan dakwah saudara di segenap ceruk rantau dan saudara hendaklah melaporkan kepada pucuk pimpinan tentang keadaan suasana yang mengelilingi saudara dan janganlah saudara melakukan sesuatu kerja yang menjejaskan dasar-dasar seruan kita melainkan dengan mendapat keizinan terlebih dahulu (dari pucuk pimpinan). Dalam melakukan kerja sedemikian, saudara hendaklah mempunyai hubungan yang rapat dengan pucuk pimpinan, malah dari sudut jiwa dan amalan saudara hendaklah menganggap diri saudara adalah seorang perajurit yang sentiasa bersiap-sedia di khemahnya, hanya menunggu saat menerima perintah dan tindakan.
'apa ertinya saya menganut Islam' by ustaz fathi yakan

No comments:

Post a Comment